Satu ketika, Ali r.a telah pulang dari rumah Nabi Muhammad SAW. Setibanya di rumah, Ali berkata kepada isterinya, “Ya Fatimah, apakah pada hari ini engkau mempunyai makanan untuk aku?”
“Demi Allah, aku tidak mempunyai apa – apa, akan tetapi aku punya wang enam dirham sebagai upahku yang diberikan oleh Salman (Al-Farisi) dan wang ini pun untuk membeli makan Hasan dan Husin.” jawab Fatimah
Lalu Ali berkata; “ Wahai isteriku, berikanlah wang itu kepadaku.” Kemudian Fatimah memberikan wang itu kepada suaminya, lantas Ali r.a. keluar untuk membeli makanan. Tiba – tiba, ada seorang lelaki yang sedang berdiri lalu berkata: “Siapakah yang mahu memberi wang kepada Allah dengan wang yang baik?” Maka Ali r.a. memberikan wang itu kepada orang itu dan pulang tanpa membawa apa – apa makanan buat kedua orang anaknya.
Ketika Fatimah melihat suaminya pulang tanpa membawa apa – apa, lalu Fatimah menangis dan Ali r.a berkata “Wahai wanita yang mulia, mengapakah engkau menangis?” Fatimah menjawab: “Aku melihat engkau pulang tanpa membawa apa – apa.” kemudian Ali berkata: “ Ya Fatimah, wang itu telah aku pinjamkan kepada Allah.” “Engkau telah benar.” Kemudian Ali pergu menuju rumah Nabi SAW. Di dalam perjalanan, baginda bertemu dengan seorang Arab dusun, maka orang itu berkata: “Hai ayah Hasan, belilah olehmu unta ini.” Baginda menjawab: “aku tidak mempunyai wang untuk membeli untamu itu.” Orang itu membalas: “aku akan jual unta ini dengan pembayaran kemudian.” Lalu baginda berkata: Baiklah berapakah harga unta ini?” Orang itu menjawab: “seratus dirham saja.”
Setelah unta itu dibeli oleh Ali r.a. tiba - tiba muncullah seorang Arab dusun yang lain menghampiri Ali r.a dan berkata: “Ya ayah Husin, apakah akan kau jual unta ini?” Ali menjawab: “ Benar, unta ini akan aku jualkan seharga tiga ratus dirham. Kemudian orang itu berkata: “Baiklah unta ini akan aku beli.”
Setelah unta itu dijual, baginda pulang ke rumah sebelum keluar semula bertemu dengan Rasulullah. Nabi Muhammad SAW melihat kepadanya dengan wajah tersenyum dan baginda Rasulullah bertanya: “Apakah engkau akan menceritakan kepadaku atau akulah yang akan menceritakan kepadamu?”
Ali r.a menjawab: Engkaulah yang harus menceritakan lebih dahulu kepadaku.”
Lalu baginda berkata: “Hai Ali tahukan siapa orang yang menjual unta kepadamu dan orang dusun yang membeli unta kepadamu?”
Ali menjawab “ Hanya Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui.”
Maka Baginda Rasulullah berkata: “ Beruntunglah engkau hai ali, engkau memberikan pinjaman kepada Allah enam dirham dan Allah memberimu tiga ratus dirham. Kalau kau perlu tahu, bahawa orang dusun yang pertama itu Malaikat Jibril, dan yang kedua itu adalah Malaikat Mikail.”
*Dipetik dan diubah suai daripada Cerita – Cerita Motivasi untuk Hidup Bertaqwa, oleh Mohd Najib dan Nur Yasmin
***
Tiada ulasan:
Catat Ulasan