Selasa, 7 Julai 2009

Riba Bukan Sekadar Pada Faedah

Riba Bukan Sekadar Pada Faedah

Disediakan oleh : Mohammad Azizul

www.al-insyirah.co.nr

Apa itu riba?

Umum mendefinisikan riba sebagai “keuntungan yang berlebihan” ataupun “faedah” yang diterima daripada transaksi pinjaman. Ramai yang melihat hanya wang yang bertindak sebagai medium urus niaga riba. Realitinya riba bukan sesuatu yang mudah untuk dielak, malah diriwayatkan bahawa umat akhir zaman tidak akan terlepas daripada debu – debu riba, walhal dosa riba yang paling ringan sama beratnya dengan dosa berzina dengan ibu kandung sendiri. Riba secara bahasa bermaksud ziyadah (penambahan). Sebarang bentuk transaksi yang melibatkan pertukaran nilai, antara barang ribawi mesti bebas daripada perubahan nilai secara bathil(salah). Jadi adakah interest salah?

Wang ialah pokok, yang sentiasa berbunga

Institusi perbankan berdiri atas dasar pinjam meminjam, dalam perbankan konvensional pendeposit meminjamkan wang kepada pihak bank dan wang itu akan disatukan bersama dengan wang – wang pendeposit yang lain dan akan dipergunakan sama ada melalui pemberian pinjaman ataupun pelaburan. Sebagai balasan atas pinjaman yang diberikan, peminjam akan memulangkan pinjaman (pokok) bersama – sama dengan faedah( bunga). Andai difikir sepintas lalu, tentu sekali ia ialah transaksi yang adil bukan? Masing – masing dalam keadaan menang – menang, pandangan itu meleset sama sekali. Islam ialah Ad-Deen yang syumul , melengkapkan manusia dengan cara hidup yang terbaik, termasuk sekiranya penganutnya kesempitan wang. Istilah pinjam ialah bahasa halus kepada perbuatan berhutang, dan lazimnya mereka yang berhutang ialah orang yang memerlukan bantuan, yang kesempitan wang. Tentu sekali sesuatu yang zalim mengambil keuntungan keatas mereka yang kesempitan bukan?

Tetapi Bank bukan Pusat Kebajikan

“Siapakah yang mahu memberi pinjaman kepada Allah, pinjaman yang baik (menafkahkan hartanya di jalan Allah), Maka Allah akan meperlipat gandakan pembayaran kepadanya dengan lipat ganda yang banyak. dan Allah menyempitkan dan melapangkan (rezki) dan kepada-Nya-lah kamu dikembalikan.”

Surah Al Baqarah, Ayat 245

Sekiranya seseorang mukmin itu memberi pinjaman dan hanya menerima pinjamannya kembali dengan nilai yang sama , Allah akan membalas kebaikannya dengan sepuluh kali ganda. Itulah balasan mereka yang memberi pinjaman secara baik kerana memberi pinjaman sama seperti bersedekah, membantu mereka yang memerlukan. Tetapi Bank(Islam) bukan peminjam dan bukan pemberi pinjaman. Semua pihak mempunyai peranannya dalam dunia ini, baik benda hidup seperti bakteria di dalam tanah, mahupun Matahari di langit. Begitu juga bank, sektor kewangan(financial sector) ialah dompet bagi sistem ekonomi, disitulah dana(fund) disalurkan daripada yang mempunyai dana lebihan(surplus) kepada yang memerlukan dana(deficit).

Apabila kita ingin membeli rumah yang berharga RM 300,000 dan kita hanya mampu membayar RM 100,000 , kita akan mencari institusi kewangan (financial institution) seperti bank dan finance house untuk membiaya(finance) pembelian tersebut. Bagaimanapun dalam operasi bank Islam, pembiayaan tidak dilakukan secara pinjam meminjam, sebaliknya melalui urusniaga lain seperti jual beli atau perkongsian. Melalui konsep Al Bai Bithaman Ajil(jual beli dengan bayaran tertangguh), bank akan membeli rumah tersebut secara tunai dan akan menjual kembali kepada kita secara hutang ansuran. Berbanding transaksi pinjam meminjam, berbeza bukan? Tetapi akhirnya kita terpaksa berhutang juga, tetapi adakah ianya sama dengan pinjaman konvensional?

Andai Wang seperti pokok, ia juga bernafas dan sakit

Allah Maha Mengetahui, Dia tahu manusia akan berhenti menggunakan matawang dinar dan standard emas yang Berjaya menstabilkan nilai matawang. Wang yang kita gunakan ialah wang fiat, tertakluk kepada kerajaan, wang yang berada di poket kita mungkin menerima nasib yang sama dengan wang di Iraq selepas penaklukan Amerika Syarikat dan Wang Pisang selepas kejatuhan penjajah Jepun. Nilainya lebih rendah berbanding nilai sewaktu dicetak. Peristiwa kegawatan ekonomi pada tahun 1997 dan 1998 yang menyaksikan kejatuhan matawang menyebabkan ramai firma terpaksa gulung tikar, dan ramai yang gagal membayar pinjamannya semula. Salah satu daripada penyebab kepada keadaan ini ialah nilai matawang yang rendah menyebabkan kadar BLR(Base Lending Rate) yang diguna pakai untuk transaksi pinjam meminjam meningkat sehingga ke tahap “melampau”, malah mereka berkemungkinan berhadapan dengan compounding interest. Bagi pelanggan bank Islam pula, mereka selamat dengan kadar pembayaran balik yang tetap. Allah yang Maha Bijaksana mengharamkan riba dan membenarkan jual beli kerana akad jual beli lebih adil berbanding transaksi pinjam meminjam yang bukan sahaja berselimut riba, tetapi juga beralaskan gharar(ketidak tentuan).

Tetapi kenapa kadar bayaran di bank Islam lebih tinggi berbanding konvensional

Selalunya ayam yang disembelih lebih mahal berbanding ayam yang mati lemas. Bergantung kepada jenis pembiayaan yang dibuat, sama ada secara jual beli, perkongsian atau pelaburan(dalam bank Islam, tiada istilah pinjaman) kadar bayaran boleh menjadi lebih rendah berbanding kaedah konvensional. Terdapat pelbagai faktor menyebabkan perbezaan antara kadar bayaran menurut kaedah Islam dengan konvensional. Sebahagian daripada faktor tersebut ialah kadar berubah yang dialami oleh sektor konvensional, tempoh kontrak untuk kaedah jual beli menurut Islam, dan kadar perkongsian untuk kaedah perkongsian menurut Islam. Bagaimanapun sebagai ummat Islam, murah mahal hanyalah ujian kecil dalam menilai iman kita, adakah kita sanggup membayar lebih mahal untuk rezeki lebih berkah atau tidak.

Jadi adakah Riba hanya pada faedah?

Andai disemak , kebanyakan kamus dan penterjemah menyamakan riba dengan usury, bukan faedah (interest). Jadi apabila anda bertanya kepada personel bank konvensional, adakah mereka terlibat dengan riba, mereka mungkin akan menjawab “ kami tiada sebarang unsur usury dalam operasi kami” walaupun mereka terlibat secara langsung. Riba boleh berlaku dalam tiga keadaan, pemanjangan hutang, pertukaran barang, dan bayaran tertangguh. Pemanjangan hutang menjadi batil apabila penghutang terpaksa membayar lebih untuk hutang yang dipanjangkan tempohnya. Pertukaran barang menjadi batil apabila barangan ribawi ditukar secara berbeza masa atau bilangan, contohnya apabila tiga kilogram beras jenama X ditukarkan dengan dua kilogram beras Y,transaksi ini adalah batil, walaupun tiga kilogram beras jenama X sama nilainya dalam Ringgit Malaysia dengan dua kilogram beras Y.

Apakah Punca Riba?

Dunia mewarisi sistem kewangan dan perbankan eropah yang kaya dengan unsur riba , salah satu punca riba ini ialah kegagalan negara- negara Islam untuk bersepakat mengguna pakai sistem ekonomi (bukan sekadar sistem kewangan). Sehingga artikel ini ditulis (sepanjang pengetahuan penulis) hanya ada tiga Negara Islam mengguna pakai sisten ekonomi Islam tulen dan salah satu daripada Negara itu ialah Republik Iran. Sistem ekonomi Islam yang lengkap menjanjikan sekuriti keatas sistem kewangan itu sendiri, dengan penggunaan matawang dinar yang lebih stabil, dan sistem kewangan bukan berasaskan hutang, tidak akan berlaku putaran roda “10 years economic recession circle”. Selain itu umat Islam sendiri gagal menyelami sistem ekonomi Islam yang turut melihat setiap aktiviti ekonomi memberi pulangan akhirat (pahala dan dosa). Menurut Islam, berbelanja dengan betul ialah ibadah yang turut memberikan ganjaran pahala kepada pembeli, kenyataan ini ialah motivasi langsung yang menyebabkan aliran matawang dalam ekonomi mengalir dengan lancar dan menyokong perkembangan ekonomi. Malangnya subjek ekonomi Islam tiada dalam silibus pendidikan menengah, dan subjek ekonomi bukan subjek teras, menjadikan ramai saintis, doktor, dan jurutera gagal memahami kenapa inflasi berlaku.

Apa yang boleh disumbangkan?

Seperti yang dijelaskan, setiap orang mempunyai peranan masing – masing, ramai calon STPM akan menulis kesimpulan dengan kata – kata “ semua pihak perlu bekerjasama untuk menyelesaikan masalah/isu ini”. Bagi mereka yang sedang belajar, belajarlah dengan tekun, bagi mereka yang selesai menduduki peperiksaan awam, baik SPM , atau STPM ,dunia memerlukan sebanyak 20 juta orang pekerja dalam bidang Kewangan Islam pada 2012 sedangkan bilangan pekerja sektor ini hanyalah sebanyak 80 ribu orang sewaktu 2007. Bersediakah anda untuk menyumbang? Pelan Induk Sektor Kewangan Malaysia akan berakhir pada tahun 2010, Negara – Negara Eropah seperti Britain, Perancis dan Negara Asia Pasifik seperti Singapura dan Jepun sedang membangunkan sektor Kewangan Islam , kesemua perkembangan positif ini membuka peluang bagi graduan – graduan segar daripada kota santri. bersediakah kalian menyertai sektor ini? Bersediakah kalian berjihad mengembalikan semula kegemilangan Islam? Atau sekadar membenarkan sejarah berulang kembali? Cetakan kitab suci Al-Quran pertama kali dicetak di Venice, Italy bukan di Negara Islam. Adakah kewangan Islam akan digemilangkan oleh Negara bukan Islam yang akhirnya menukar sistem lengkap ini kepada istilah lain seperti yang berlaku kepada istilah interest-usury?

Wallahu ‘alam

Mohammad Azizul Bin Abd Aziz

Pelajar Tahun Dua

Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan

(Kewangan Islam) Dengan Kepujian,

Universiti Darul Iman Malaysia,

Kuala Terengganu.


Tiada ulasan: